Khamis, 4 Februari 2010

Semulia Akhlak Nabi

Saat berbicara tentang kemuliaan, tanyailah diri anda: Mana solat tahajjudmu? Mana puasamu saat siang yang terik menyengat? Mana sumbanganmu terhadap anak yatim? Namun Nabi bersabda, "Sesungguhnya sesuatu yang paling berat timbangannya adalah budi pekerti yang agung."

Kadang-kadang dalam bermuamalat sesama teman.. kita terlupa untuk menjaga akhlak kita. Tanpa kita sedari akhlak itu mencerminkan bagaimana sebenarnya hubungan kita dengan Allah. Alangkah malunya kalau orang menyedari bahawa betapa buruknya akhlak kita. Bermakna, tentu hubungan kita dengan Allah juga tidak kita jaga. Bagaimana kita hendak menyeru orang lain untuk mengEsakan Dia sedangkan kita sendiri masih belum cukup mengerti bagaimana mengEsakan Dia.

Sejak akhir-akhir ini, aku sering terfikir tantang akhlak yang ditunjukkan oleh para akhawat. Tak usah mencari orang jauh, cukup diri sendiri sebagai contoh. Bagaimana aku bersikap sehari-hari? Pernahkah aku cuba untuk menyenangkan hati teman-temanku? Pernahkah aku bercakap dengan lemah-lembut kepada mereka? ataukah aku hanya mengeluarkan kata-kata sindiran dan teguran yang menyakitkan hati? Pernahkah aku bersangka baik dengan mereka? Terkadang kita sering disakiti oleh teman dan saat itu, kita menuduh yang mereka tidak pernah untuk memahami kita. Tapi sedarkah kita bahawa kita juga tidak lepas dari menyakiti orang lain! Makanya dalam berukhuwah itu ada tingkatannya. Selemah-lemah ukhuwah adalah berlapang dada dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah ithar. Tak mahukah kita mencapai tingkat tertinggi itu? Memang payah, kerana fitrah sesuatu yang indah itu memang susah untuk di gapai. Seperti syurga!!

Bercakap tentang akhlak sebenarnya sangat luas skopnya. Bukan sekadar perhubungan kita sesama manusia saja. Tapi sikap kita terhadap diri sendiri dan sekeliling juga. Mulai sekarang, aku ada satu azam baru! Nak berakhlak seperti akhlak nabi! Walaupun mungkin tidak persis, tapi bila kita ada keinginan yang tinggi kita akan berusaha sekuat-kuatnya kan!Mungkin kadang-kadang lebih baik diam jika tidak ada keperluan untuk kita berkata-kata kerana kebanyakan kata-kata itu menyakiti jiwa-jiwa yang mendengarnya. Erm.. bagaimana caranya?? Simple... baikilah hubungan dengan Allah. Bukankah Allah dah janjikan kalau makin baik hubungan kita dengan Allah, Allah akan menjadi seluruh pancaindera kita seperti hadith yang pernah dipostkan pada entri sebelum ini.

Seandainya kau tidak tahan dengan kata-kata mereka yang menyakitkan, diamlah dan banyak-banyak beristighfar kerana takutnya kau akan melepaskan kata-kata yang menyakitkan hatinya pula. Bukankah Allah pernah berpesan bahawa ucapkanlah 'salam' pada mereka yang menyakitimu? dan berlalulah dengan menjaga kehormatan diri.

Adapun hamba-hamba Tuhan yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mangucapkan 'salam' (Al-furqan: 63)

.....dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya, (Al-furqan: 72)

Wahai hati, cukuplah Allah bersamamu! Cukuplah Allah yang mendengar rintihanmu! Biarkan hanya Allah saja yang tahu sejauh mana kau ingin lakukan perubahan! Walau orang lain tak tahu betapa besarnya usahamu untuk melakukan perubahan kecil itu, walau orang lain tak pernah menghargai perubahanmu itu, Allah tahu! Allah itu Maha Mengetahui!! Bersabarlah wahai hati.. Mohonlah agar diberi kekuatan dengan sabar dan solat.

"Dan berilah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tak ada yang mampu memberi hidayah untukmemperbaikinya kecuali Engkau"